Teruskan Perjuangan bagi Memperluaskan Kerusi Rakyat

Teruskan Perjuangan bagi Memperluaskan Kerusi Rakyat
PRU-13 "Misi PR KE PUTRAJAYA"

Monday, July 19, 2010

Pengalaman.....Proton Exora

Pengalaman memandu Exora ketika bertugas di Tawau selama 2 minggu baru-baru ini memberi saya pandangan baru berkenaan model ini.

Ketika mula dilancarkan saya hanya memberi respond negatif kepada kapasiti enjin yang ditawarkan iaitu Campro CPS 1.6 seperti Waja CPS yang saya miliki. Saya membayangkan dengan berat yang ada pada Exora serta dengan mengisi 7 penumpang serta barangan sudah tentulah ianya akan membebankan pemandu.

Tahun lalu saya telah melihat secara dekat Proton Exora ketika menghantar Waja CPS kesayangan saya di Proton Subang Jaya (COE). Saya memberi penarafan 5 bintang kepada Exora H-Line jika dibandingkan dengan Naza Citra, Rondo, Avanza, Grand Livina, Innova serta Rush. Rekabentuknya menarik, luas serta posisi penumpang sangat selesa dan lapang, penghawa dingin disetiap baris penumpang, kemudahan Audio Video yang menarik, dan paling penting harga yang murah.

Pengalaman pertama diberi Proton Exora, saya dapati pemanduannya amat mengkagumkan, tidak seperti memandu MPV / VAN. Selekoh yang diambil sangat jitu, suspensi kesemua bahagian tayarnya juga mengkagumkan dengan permukaan jalan di Tawau yang tidak sebaik mana. Ketika membawa rakan-rakan dengan kapasiti penuh7 penumpang, saya tidak nafikan "pick-up" tidak berapa kencang, bagaimanapun pemanduan seterusnya berjalan dengan lancar. Malah ketika menarik enjin untuk memotong bunyi enjin ketika mencecah 4000rpm tidak sekuat Waja CPS milik saya. Hmmm nampaknya disini Proton telah berlaku tidak adil kepada Waja CPS.

Selain itu kemudahan elektroniknya juga sebaris dengan kereta-kereta import. Ketika hujan, pengelap cermin yang diset auto akan mengikut rentak pemanduan, sekiranya berhenti sela masanya lama, jika bergerak ianya akan automatik laju. Sebagai pemandu kita tidak perlu untuk meningkatkan kelajuan pengelap kereta, sekejap lajukan sekejap perlahankan itu semua sudah boleh ditinggalkan oleh pemilik Exora.

Selain itu jika hendak membuka pintu kereta, ianya dibolehkan untuk membuka pintu pemandu sahaja. Tekan punat kunci kali kedua, barulah kesemua pintu akan terbuka. Saya pernah menggunakan aplikasi ini ketika menggunakan Suzuki Swift 4 tahun yang lalu. Kemudahan lain seperti auto cruise adalah seperti Waja CPS. Cuma stereng pemandu adalah seperti stereng kenderaan lain, kerana saya merasakan stereng kereta Waja CPS adalah masih yang terbaik. Ketika menyerahkan kembali Exora kepada agen sewa kereta tersebut, saya telah jatuh cinta kepada Exora. Malangnya saya tidak pula perlu memiliki MPV. Tetapi jika perlu saya akan memilihnya berbanding model lain, saya pasti penjimatan yang diperolehi terutama ketika servis amat berbaloi berbanding memiliki kenderaan import yang sudah tentu hanya kadar faedah sahaja yang rendah, tetapi harga serta penyelenggaraannya hanya akan membazirkan wang saya sahaja.

Saya kira Proton semakin berubah, jika hendak dibandingkan Proton dengan UBN jauh panggang dari api kerana Proton jauh lebih berubah kepada yang lebih baik. Tahniah Proton, Datuk Nadzmi, Datuk Syed Zainal serta kakitangan Proton yang lain. Jadikanlah Proton seumpama Volkswagen di Jerman sebuah kereta dibina untuk rakyat.

No comments: